WAKAF

PENGENALAN WAKAF
Wakaf adalah satu Ibadah dari kalangan ahli tabarru’ dan Taqarrub diri kepada Allah SWT. Mereka mengambil sebahagian dari hasil harta, kekayaan anugerah ilahi untuk di wakafkan ke jalan Allah SWT.

Dalam Islam amalan wakaf menjadi tradisi awal dalam ibadah secara meluas oleh kaum muslimin/muslimat yang memiliki harta melakukan ibadah wakaf kerana harta itu akan berpindah secara sah dari miliknya bagi Allah atas maslahah agama bagi di uruskan oleh pemegang nazir amanah (trustee).

PENGERTIAN WAKAF
Dari segi bahasa
Terhenti,Tertahan,Terhalang

Dari segi syarak
Wakaf ialah apa-apa harta yang di tahan atas hak pewakaf daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan,hibah dan wasiat disamping mengekalkan sumber fizikalnya untuk kebajikan pewakaf atas maslahah agama dengan ada niat “Saya wakaf untuk mendekati diri kepada Allah SWT“.

Definisi: Disisi Jumhur Ulama’
Iaitu untuk menahan sesuatu asset atau harta yang sah oleh pemiliknya (pewakaf) bersedekah manfaatnya kejalan kebajikan berterusan dengan kata lain menahan barangan harta yang boleh di manfaatkan serta kekal assetnya dengan memutuskan guna pakai keatas asset itu, dari pihak pewakaf atau lamanya kea rah kegunaan yang harus atau diguna pakai penghasilannya kearah kebajikan dan kebajikan ke arah mendampingi diri kepada Allah.

Definisi: Disisi Mazhab Maliki
Iaitu pemilik mejadikan manfaat yang dimilikinya , sekalipon dimiliki dengan menyewa ataupun dijadikan penghasilan seumpama wang kepada yang memerlukan dengan jalan berlafazuntuk jangka masa yang ditetapkan oleh pewakaf, dengan itu wakaf disisi mazhab maliki ialah tidak memutuskan hak pemiliknya pada asset yang diwakafkan hanya memutuskan hak menguna pakai sahaja.

SEJARAH WAKAF
Perintis amalan wakaf dalam Islam adalah dipraktikkan oleh Baginda Rasullullah S.A.W apabila Baginda membina masjid Quba’ yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Amalan wakaf telah hidup subur dan diteruskan oleh para sahabat dan tabiin yang banyak mewakafkan harta untuk kepentingan dan pengembangan syiar Islam ketika itu. Ringkasnya semangat dan keyakinan masyarakat Arab ketika itu terhadap mekanisme wakaf dalam membantu membangunkan syiar Islam amat menggalakkan dan sesetengah kenyataan menyatakan bahawa telah menjadi tradisi masyarakat Arab akan mewakafkan 1/3 hartanya sebelum meninggal dunia.

Fakta sejarah telah menyatakan bahawa 3/4 daripada keluasan tanah Arab merupakan tanah wakaf. Model institusi wakaf yang paling berjaya adalah wakaf Al-Azhar di Negara Mesir di mana ianya dikendalikan oleh sebuah kementerian khas yang dinamakan Kementerian Wakaf. Wakaf Al-Azhar dipercayai mempunyai aset yang banyak sehingga ia mampu membiayai pelbagai program untuk pembangunan masyarakat Islam di Mesir seperti sekolah, hospital, universiti dan sebagainya. universiti Al-Azhar adalah satu institusi pendidikan Islam yang dibiayai sepenuhnya melalui sumber wakaf yang mempunyai puluhan ribu pelajar dari seluruh dunia.

Bagi masyarakat Islam di Malaysia amalan wakaf telah lama dipraktikkan dan menjadi sebahagian dari kehidupan masyarakat Melayu khususnya sebelum kedatangan penjajahan barat. Sebelum tahun 1950-an kebanyakan harta wakaf adalah untuk tujuan pembangunan institusi keagamaan seperti pembinaan surau, masjid, madrasah, kubur dan sekolah agama. Hal-ehwal pengurusannya pula ketika itu ditadbir oleh cerdik pandai Islam dan pemimpin masyarakat seperti imam, ketua kampung, lebai, kiyai dan ulama’. Di Negeri-negeri Utara dan Pantai Timur banyak madrasah dan ma’had tahfiz yang dibina melalui sumber wakaf dan kebanyakan masjid dan surau di kampung-kampung pada masa dahulu adalah dibina di atas tanah yang diwakaf oleh individu.

DALIL PENSYARIATAN AL-QURAN
Bandingan (Derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan allah, ialah sama seperti biji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai , tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah) Allah SWT akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya dan Allah SWT maha luas (Rahmat) kurniaNYA, lagi meliputi ilmu pengatahuanNYA.
Surah Al-Baqarah ayat 261

Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah SWT mengatahuiNYA.
Surah Al-Imran ayat 92

DALIL HADITH NABAWIYAH
Dari Abu Hurairah RA, Sabda Rasulullah SWT:
Apabila mati anak adam dan terputuslah amalanya kecuali tiga perkara:
Sedekah Jariah berterusan
Ilmu yang dimanfaatkan
Dan anak yang soleh yang mendoakan
Hadith Riwayat Muslim

Dari Ibni Umar RA berkata:
Umar telah mendapat sebidang tanah dari Khaibar lalu dia datang kepada pandangan tentang tanah itu, maka katanya yang bermaksud;
“Wahai Rasulullah SWT sesungguhnya aku mendapat sebidang tanag di Khaibar, dimana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga begitu setara daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingi diri kepada allah) apakah yang hendak Engkau perintahkan kepadaku denganya”.
Maka sabda Rasulullah SWT kepadanya yang bermaksud,
“Jika Engkau hendak tahanlah berikut tanah-tanah itu dan sedekahkan manfaatnya”.
Maka Umar pun sedekahkan manfaatnya dengan syarat (maukuf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (beri) dan tidak diwariskan (pusaka) tanah itu diwakafkan keatas fakir miskin, kaum kerabat, memerdekakan hamba dan tidak ada kalangan bagi orang yang menguruskan (yang diberi kuasa menjaganya yakni nazir) untuk mengambil upah sebahagian darinya dengan cara yang wajar dan mengambil upahnya tanpa menganggap bahawa hartanah itu miliknya sendiri.

DALIL IJMA’
Imam al-Qurtuby berkata:
Sesungguhnya permasalahan wakaf adalah Ijma (sudah disepakat) diantara para sahabat Nabi S.A.W yang demikian kerana Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Aisyah, Fatimah, amr Ibn Al-Ash, Ibnu Zubair, Jabir dan seluruhnya mengamalkan syariat wakaf dan wakaf-wakaf mereka, baik di Makkah mahu pun di Madinah. Sudah di kenal masyur oleh khalayak ramai.
(Rujukan: Tafsir al-Qurtuby 8/339, Al-Mastadrah 4/200)

Jabir berkata:
Tiada seorang pun dari sahabat Nabi S.A.W yang memiliki kemampuan dan kelapangan rezeki kecuali pasti pernah mewakafkannya
(Rujukan: Al-Muqhni 8/185, Al-Zarkasyi 4/269)

Imam Tirmidzi menyatakan:
Wakaf telah diamalkan oleh para ulama’ baik dari kalangan sahabat Nabi S.A.W mahupun yang lainya, saya tidak melihat ada perbezaan pendapat di kalangan ulama’ mutuqaddimin tentang wakaf, baik wakaf tanah mahupun yang lain.
(Rujukan: Sunan Tirmidzi 5/13 setelah hadith no.1375)

RUKUN WAKAF
1. Wakif (pewakaf)
Di antara syarat-syarat pewakaf adalah:
Mestilah memiliki secara penuh harta yang ingin diwakafkan, bermakna ia merdeka untuk mewakafkan harta itu kepada sesiapa yang ia kehendaki.
Berakal (sempurna akal fikiran) dan waras pemikirannya.
Baligh.
Pilihan sendiri untuk berwakaf dan tidak dipaksa (ikhtiar bi nafsih).

2. Mawquf (harta yang diwakafkan)
Harta itu mestilah benda yang dapat diambil manfaatnya.
Harta yang diwakafkan mempunyai nilai harga (mutaqawwim).
Harta yang diwakafkan itu adalah milik sempurna oleh orang yang berwakaf (waqif).
Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi syarak.

3. Mawquf ‘Alaih (penerima wakaf)
Orang yang boleh untuk memiliki harta (ahlan li al-tamlik) – orang Islam, merdeka dan kafir zimmi boleh memiliki dan menerima manfaat harta wakaf. Manakala orang yang tidak sempurna akalnya, hamba sahaya, dan orang gila tidak sah menerima wakaf.
Penerima wakaf mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai hal taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T) dan perkara ini hanya ditujukan untuk kepentingan Islam sahaja.

4. Sighah (penyataan wakaf)
Pernyataan wakaf yang dibuat sama ada secara lisan, tulisan bersama lafaz ataupun isyarat.
Melalui lafaz sama ada secara soreh atau kinayah.
Lafaz soreh: lafaz yang jelas membawa maksud yang tertentu sahaja seperti “Saya mewakafkan rumah saya untuk orang-orang fakir”.

Lafaz kinayah: lafaz yang membawa banyak maksud seperti “Hartaku adalah sedekah kepada fakir miskin”.

KELEBIHAN BERWAKAF
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Ta’ala.

Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama’) berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.

Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah (diberi), diwarisi dan dipusakai.

Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Ta’ala sebagaimana firman Allah, mafhumnya:

Bandingan (pahala) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (KurniaNya) lagi Maha Mengetahui.
Surah Al-Baqarah, Ayat 261

Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud:
Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
Hadis Riwayat Muslim

============================================================================

Sebarang sumbangan / wakaf tunai bolehlah dimasukkan ke akaun tertera di bawah: